Saturday 13 April 2013

Sebu

Assalamualaikum w.b.t.



Makan... Perkara yang sangat sinonim dengan kehidupanku. Namun bukan perihal jenis makanan yang ingin aku catatkan dalam diari ini, tetapi lebih kepada suasana sewaktu makan. Aku gemar makan di luar rumah apabila berada di Perak. Tidak kisah di warung atau restoran, kesemuanya menjadi pilihan lebih-lebih lagi apabila perut mula berbunyi. Aku masih ingat rakanku menggelar aku 'naga' atau 'mesin penyedut'. Soalnya, aku selalu menghabiskan makanan dengan cepat walaupun dalam kuantiti yang banyak. Sememangnya perkara itu menjadi kebiasaan bagiku. Aku lebih suka bergerak pantas bukan sahaja sewaktu makan. Namun, aku masih berjaga-jaga dengan tahap pengambilan makanan. Jika tidak mengambil makanan secara betul, maka aku mudah sebu. Apabila perkara itu berlaku, maka tidak senang duduklah aku kerana terpaksa mencari minuman bergas atau meminum ENO bagi melegakan keadaan. Perkara ini berlaku pada dua hari lepas sewaktu aku makan malam di rumah saudaraku. Pada waktu itu aku sedang asyik menjamah udang goreng. Selepas itu aku mula berasa sebu sebelum pening kepala. Aku tidak senang duduk selepas makan malam itu, berjalan ke hulu hilir rumah sepupu bagi menenangkan keadaan. Boleh dikatan waktu itu jiwaku kacau akibat perut meragam. Sebagai jalan penyelesaian aku mengikut sepupuku keluar bagi membeli ENO. Dalam keadaan yang tidak selesa itu, sempat aku menemaninya ke tempat kerja. Mujur selepas pulang aku terus menyiapkan minuman tersebut sebelum berehat. Selepas ini, aku perlu berhati-hati dalam soal makan supaya tidak berlaku lagi situasi sebegitu.

No comments:

Post a Comment