Saturday 13 April 2013

Satu Demi Satu

Assalamualaikum w.b.t.



Kereta, alat pengangkutan yang sangat digilai terutama golongan lelaki. Begitu juga aku. Namun, sayangnya aku hanya mampu berangan-angan kerana masih belum mampu memiliki. Mujur abah tidak kisah dengan gelagatku yang gila-gila terhadap kereta. Pada kali ini, abah hanya mempelawa singgah ke kedai aksesori kereta di Kluang. Aku hampir-hampir terlajak sewaktu hendak pulang ke rumah. Namun, sebagai anak, peluang ini tidak dilepaskan. Sudah lama rupanya abah tidak membetulkan kereta walaupun telah diservis sebulan lalu. Abah mencadangkan kepada mekanik supaya menggantikan pelindung tingkap. Harganya murah, sekitar RM40. Abah meneliti satu persatu aksesori yang dijual di kedai itu. Tiba-tiba, abah mula bertanya tentang penggera kereta. Kereta bapaku itu sememangnya sudah lama tidak berpenggera. Aku bersetuju dengan cadangan bapaku. Tatkala itu aku terfikir seketika, mesti banyak belanja. Mekanik kedai sememangnya bersungguh-sungguh menyuruh abah memasang penggera. Aku hanya mengangguk. Makin bertambah kerja mekanik itu. Setelah pemasangan pelindung tingkap, mekanik tersebut mula memasang penggera. Selepas siap memasang penggera bapaku mula tertarik dengan lampu brek yang digantung pada rak. Aku meminta mekanik untuk memeriksa pengelap cermin kereta yang mempunyai sedikit masalah. Aku memberitahu abah bahawa lampu tersebut tidak perlu dipasang kerana lampu brek belakang masih berfungsi dengan baik. Selain itu, pemasangan lampu itu hanya akan membazir wang dan tenaga kerana kebanyakan orang hanya memasang lampu tersebut untuk bergaya. Abah mengiyakan pendapatku sahaja. Aku tersenyum  seketika, kerana memikirkan apa yang berlaku tidak seperti yang dirancang. Kos kesemua sekali berjumlah hampir RM600. Mujur abah mempunyai wang yang cukup. Selepas ini, sekiranya hendak berbelanja, setiap perkara perlu dirancang dengan betul supaya dapat berbelanja dengan lebih sistematik. Hal ini bagi mengelakkan pembaziran atau berbelanja di luar kadar perbelanjaan.

Musim Memancing Undi

Assalamualaikum w.b.t.



Aku tersenyum melihat banyak bendera-bendera dipasang di sekitar jalan. Tidak kira bendera parti apa sekali pun, penuh menghiasi jalan raya di kawasan perumahan sekitar. Pelbagai rupa dan gaya dibuat oleh mereka yang memasang poster. Namun begitu, terdapat juga poster yang dibentang menghalang pandangan laluan mahupun papan tanda. Hal ini menyebabkan aku hampir-hampir tidak menyedari kenderaan bergerak dari jalan besar menuju ke kawasan perumahan. Pemasangan poster seharusnya dilakukan dengan betul dan dipasang di kawasan-kawasan yang sesuai. Perkara ini juga tidak boleh dipandang remeh supaya dapat mengelakkan kesan yang buruk dari segi keselamatan.

Nostalgia Kanak-kanak

Assalamualaikum w.b.t.



Aku ceria melihat anak-anak jiran bermain di halaman rumahku. Sedikit sebanyak mewujudkan sedikit keriuhan di kawasan taman perumahan. Aku melihat ada antara mereka yang berlari-lari, mengayuh basikal dan bermain bola. Ada juga kedengaran pekikan semasa mereka bermain. Mungkin terlalu gembira... Namun suasana kanak-kanak itu berbeza dengan zaman yang telah lama kutinggalkan. Mereka agak sedikit agresif dan ada antara mereka yang degil. Tetapi kedegilan mereka itu sedikit sebanyak mengimbau semula kenangan dirotan dan didenda oleh ibu. Kanak-kanak sekarang perlu didekati dengan lebih bijak berbanding dulu. Jika dulu, anak-anak dididik dengan perkara yang mereka lihat saja, kini mereka hidup dalam zaman teknologi lebih mudah dibiasakan dengan alat-alat peranti terkini. Namun, sebagai kanak-kanak yang sedang membesar, seharusnya mereka perlu didedahkan dengan suasana luar supaya mereka tahu bersosial dengan kelompok masyakarat. Sikap inilah yang perlu dipupuk oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka sebagai pelapis generasi masa depan.

Sebu

Assalamualaikum w.b.t.



Makan... Perkara yang sangat sinonim dengan kehidupanku. Namun bukan perihal jenis makanan yang ingin aku catatkan dalam diari ini, tetapi lebih kepada suasana sewaktu makan. Aku gemar makan di luar rumah apabila berada di Perak. Tidak kisah di warung atau restoran, kesemuanya menjadi pilihan lebih-lebih lagi apabila perut mula berbunyi. Aku masih ingat rakanku menggelar aku 'naga' atau 'mesin penyedut'. Soalnya, aku selalu menghabiskan makanan dengan cepat walaupun dalam kuantiti yang banyak. Sememangnya perkara itu menjadi kebiasaan bagiku. Aku lebih suka bergerak pantas bukan sahaja sewaktu makan. Namun, aku masih berjaga-jaga dengan tahap pengambilan makanan. Jika tidak mengambil makanan secara betul, maka aku mudah sebu. Apabila perkara itu berlaku, maka tidak senang duduklah aku kerana terpaksa mencari minuman bergas atau meminum ENO bagi melegakan keadaan. Perkara ini berlaku pada dua hari lepas sewaktu aku makan malam di rumah saudaraku. Pada waktu itu aku sedang asyik menjamah udang goreng. Selepas itu aku mula berasa sebu sebelum pening kepala. Aku tidak senang duduk selepas makan malam itu, berjalan ke hulu hilir rumah sepupu bagi menenangkan keadaan. Boleh dikatan waktu itu jiwaku kacau akibat perut meragam. Sebagai jalan penyelesaian aku mengikut sepupuku keluar bagi membeli ENO. Dalam keadaan yang tidak selesa itu, sempat aku menemaninya ke tempat kerja. Mujur selepas pulang aku terus menyiapkan minuman tersebut sebelum berehat. Selepas ini, aku perlu berhati-hati dalam soal makan supaya tidak berlaku lagi situasi sebegitu.

Friday 12 April 2013

Kemalangan Jalan Raya

Assalamualaikum w.b.t.



Tiga hari lepas, sewaktu aku dalam perjalanan ke Kulai, sebuah lori kelihatan terbalik di jalan bertentangan. Beberapa orang mendekati kenderaan tersebut. Papan tanda amaran diletakkan di tengah-tengah jalan. Berdasarkan pengamatanku, lori tersebut kemungkinkan hilang kawalan. Hal ini berdasarkan kesan tayar yang masih jelas di permukaan jalan. Selain itu, kawasan lori itu terbalik berada di kawasan selekoh tajam. Jalan yang aku lalui itu sememangnya dalam keadaan tidak elok dengan beberapa lubang kelihatan di tengah dan tepi jalan. Selain itu, saiz jalan yang kecil meningkatkan risiko kemalangan. Menerusi kejadian tersebut, sebagai pengguna jalan raya, kita perlulah berhati-hati selain mematuhi undang-undang yang ditetapkan. Selain itu, keadaan struktur jalan juga perlulah dipantau oleh pihak penyelenggara jalan raya. Hal ini demikian kerana penggunaan kenderaan berat akan memberikan kesan ke atas permukaan jalan. Hal ini boleh menyebabkan berlakunya keretakan jalan mahupun menyebabkan jalan berlekuk. Semua ini sebenarnya mampu membantu mengurangkan kes kemalangan jalan raya.

Bercuti 2

Assalamualaikum w.b.t.


Pada kali ni pula, aku telah ke Tanjung Sedili bagi melihat sendiri suasana kawasan pendaratan ikan dan hasil laut. Aku telah berkampung di rumah saudaraku di Felda Tenggaroh Selatan Dua selama sehari. Pada jam 10.20 pagi aku tiba di jeti bagi melihat hasil laut tiba. Terdapat pelbagai hasil laut yang boleh didapati dengan harga yang meurah. Kedua ibu bapa saudaraku membeli beberapa ikan laut seperti bawal manakala ibu bapaku membeli ikan togok dan puput. Suasana di pasar tidak sesibuk hujung minggu kerana tidak ramai pelanggan yang membeli ikan di kawasan itu. Hasil-hasil laut ini dijual terus kepada pelanggan di situ. Bagiku, harga yang dijual di jeti lebih berbaloi berbanding pasar-pasar yang berdekatan dengan kawasan penempatan.

Bercuti 1

Assalamualaikum w.b.t.



Jarang sekali aku dapat berjalan-jalan sewaktu cuti. Namun pada kali ini aku telah berpeluang ke Kukup, Pontian. Aku berjalan-jalan ke Tanjung Piai bersama-sama rakanku selepas selesai menyiapkan tugasan di SMK Sri Kukup. Perjalanan mengambil masa 15 minit dari sekolah. Dalam perjalanan, aku melihat suasana kawasan petempatan kampung yang serba cantik. Rakanku terpegun melihat suasana kawasan kampung yang tenang. Terdapat banyak rumah inap yang tersedia di sekitar kawasan Tanjung Piai. Namun, setelah tiba di destinasi, rakanku memberitahu bahawa kawasan tersebut masih jauh dari lokasi penghujung benua Asia. Jika hendak ke kawasan tersebut hanya boleh berjalan kaki. Walaupun hampa dengan keputusan yang diberikan oleh rakanku, tetapi aku masih berpuas hati dapat 'makan angin' sewaktu cuti kali ini.


Kisah di balik 'Tayar Besi'

Assalamualaikum w.b.t



Aku melihat gelagat sesetengah penumpang keretapi sewaktu pulang ke Kulai, Johor. Mereka kelihatan sibuk dengan aktiviti masing-masing. Ada antara mereka bersembang, mendengar muzik mahupun duduk termenung menunggu kelibat kereta api tiba di stesen. Aku telah berjumpa empat orang rakanku di stesen berikut. Aku sendiri tidak menyangka mereka juga masih memilih untuk menaiki kereta api untuk pulang ke kampung halaman. Masih lagi kuingat salah seorang dari mereka bertanya, "Naik kereta api juga?" Aku hanya mengangguk. Bukan selalu aku menggunakan pengangkutan ini. Mereka sememangnya gemar menggunakan perkhidmatan ini kerana tidak perlu berjalan-jalan mencari stesen bas atau perlu ke kaunter beberapa kali untuk mendapatkan tiket. Bagi aku, penggunaan kereta api ini masih releven dan memudahkan pengguna untuk bergerak. Walaupun memakan masa yang lama. namun di sebalik penggunaan kereta api ini, aku dapat melihat kawasan hutan, kebun dan juga kawasan pekan. Perkhidmatan ini sebenarnya banyak memberi nostalgia kepadaku kerana sewaktu menetap di Negeri Sembilan, perkhidmatan ini sememangnya menjadi pilihan keluargaku.

Monday 8 April 2013

Hari Keluarga

Assalamualaikum w.b.t dan selamat sejahtera.

Hari Keluarga Persatuan Bahasa Melayu yang berlangsung pada 31 Mac lalu memberikan seribu satu kenangan bagiku. Walaupun kehadiran tidak seperti yang dijangka, namun komitmen yang diberikan oleh rakan-rakan dari semester dua, empat dan lapan amat dihargai. Aktiviti dijalankan di padang UPSI bermula jam 8.00 pagi. Pada waktu itu, aku dan dan rakan-rakan yang dilantik menjadi ahli jawatankuasa bertungkus lumus menyiapkan tempat, peralatan dan membersihkan kawasan sekitar supaya lebih tersusun. Aku dilantik menguruskan penerbitan dan siar raya. Apabila sampai di padang, aku sedia mendapatkan meja bagi meletakkan komputer riba dan sistem audio. Pengendalian bahan audio tidak sesukar mana kerana aku telah mengetahui pemasangan alat tersebut. Selepas pemasangan selesai, aku meminta bantuan salah seorang ahli jawatankuasa lain untuk membantu aku mengawal sistem audio dan mengambil gambar. Walaupun mereka kekok dalam mengendalikan alat, dengan penerangan yang jelas mereka dapat mengendalikannya dengan baik. Aktiviti hari keluarga dimulakan dengan permainan futsal. Pelbagai aksi dan gelagat peserta telah dapat kuambil menerusi kamera. Kemeriahan aktiviti diteruskan dengan menyusun 'puzzle' boling kelapa, lari dalam guni dan permainan 'pening lalat'. Aktiviti ini sedikit sebanyak mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara pelajar-pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu. Hubungan interaksi ini penting kerana suatu tanggungjawab sosial dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian, hari keluarga bertindak sebagai aktiviti untuk pelajar saling mengenali antara satu sama lain.

Monday 25 March 2013

Ayam

Assalamualaikum w.b.t.



Ayam. Hari ini merupakan hari yang amat lucu bagiku. Jarang sekali aku mengambil tahu tentang kehadiran haiwan ini di rumahku. Namun, kali ini aku cuba untuk memerhatikan gelagat haiwan yang sering 'menceroboh' kawasan rumahku. Pada pagi tadi, aku sedang berbual dengan insan yang aku sayang. Perbualanku dengannya disusuli dengan gelak tawa. Tetapi, konsentrasiku melayang seketika apabila seekor ayam jantan mara menghadapku sambil berkokok. Perkara ini menyebabkan aku berasa malu akibat ditertawakan oleh si dia. Semakin aku biarkan, semakin kuat kokokan ayam itu. Aku yang sudah geram melihat kelibat ayam itu menyergah secara tiba-tiba. Ayam jantan tersebut terperanjat dan melompat sebelum lari ke belakang. Akal jahatku muncul apabila aku mengejarnya sekeliling rumah, sempat aku membaling selipar menuju ayam jantan tersebut. Nasib ayam jantan itu baik apabila ia berjaya keluar menerusi pintu pagar halaman rumahku. Jika tidak, pasti aku akan kerjakannya cukup-cukup. Aku sebenarnya kurang selesa dengan sikap jiran-jiranku yang suka melepaskan haiwan sesuka hati. Walaupun hanya seekor ayam, tetapi jika tidak dijaga dengan betul, ia akan mengganggu selain membahayakan keselamatan orang lain.

Tawar menawar

Assalamualaikum w.b.t.



Tawar menawar merupakan salah satu pengguna membuat rundingan dengan peniaga berdasarkan harga barang. Namun begitu, sekiranya tawar menawar itu tidak mampu memberikan kepuasan bagi salah satu pihak, barangkali boleh tercetusnya pertengkaran. Hal ini benar-benar berlaku di depan mataku pada dua hari lepas. Kejadian ini berlaku sewaktu dengan rakanku selesai membeli komputer tablet di sebuah kedai di kompleks membeli belah Summit. Rakanku berminat terhadap sebuah beg yang dijual di sebuah kiosk berhampiran eskalator. Harga yang diberikan oleh penjual iaitu RM 39.00. Rakanku cuba meninta potongan harga sebanyak 19 ringgit. Namun permintaanya ditolak. Rakanku cuba memujuk penjual agar dapat menjual dengan harga yang diminta olehnya. Penjual tersebut menolak. Alasannya, harga yang ditawarkan terlalu rendah dan merugikan. Rakanku cuba memaksa penjual memberikan harga sedemikian dan menyatakan alasan bahawa dia datang dari jauh. Aku cuba memalingkan muka dari melihat, namun masih memasang telinga. Akibatnya, berlaku sedikit pertengkaran antara rakanku dengan penjual tersebut. Penjual tersebut masih tidak mahu menerima tawaran rakanku. Mujur aku cepat-cepat memasang akal mengajaknay turun ke bawah dan menemaniku ke kedai komputer. Berdasarkan kejadian tersebut, aku agak kurang setuju dengan tindakan rakanku. Hal ini kerana tawaran yang diberikan oleh penjual sudah cukup memadai. Tambahan lagi, aku menyedari bahawa kos menyewa tapak jualan di situ amat mahal. Sekiranya penjual tersebut menerima tawaran itu, kemungkinan dia akan mengalami kerugian. Bagiku, tawaran yang sebaik-baiknya tidaklah terlalu rendah sehingga menjejaskan pendapatan peniaga. Namun, peniaga juga harus berpada-pada dalam mengenakan potongan harga supaya tidak wujud penipuan sewaktu jual beli. Perkara ini sekiranya diambil tindakan akan menjejaskan perniagaan yang dijalankan itu. Hal ini boleh memberikan kesan terhadap diri akibat berlakunya manipulasi dan penipuan sebegitu.

Peristiwa Petang Jumaat

Assalamualaikum w.b.t.



Dalam suasana sibuk pelajar-pelajar menguruskan tugasan, aku berdepan dengan satu keadaan yang sangat menyakitkan hati. Pada Jumaat lalu, komputer ribaku tidak dapat digunakan secara tiba-tiba. Pada mulanya, aku hanya membuka laman sesawang. Teatpi, maklumat paparan di dalam laman tersebut menjadi sangat perlahan. Aku cuba mematikan komputer ribaku seketika dan cuba menghidupkan semula. Alangkah geramnya aku apabila sistem perisian di dalam komputer ribaku tidak memberikan tindak balas. Aku cuba mengikut arahan yang diberikan di dalam sistem. Tetapi tindak balas yang diberikan tidak seperti yang aku harapkan. Aku sudah hilang sabar ketika itu menutup skrin komputer dengan keras. Aku berasan benci melihat keaadan seperti itu berlaku. Jarang sekali aku bertindak sedemikian lazimnya aku mampu bersabar dengan masalah yang aku hadapi. Tetapi, masalah komputer yang berlaku benar-benar menghapuskan kesabaranku. Aku cuba menghidupkan semula komputer riba bagi mengenalpasti punca masalah. Namun apabila rakanku menyatakan bahawa barangkali berlaku kerosakan pada cakera, aku bertambah marah. Aku begitu geram kerana bukan sahaja gusar dengan perkara yang dinyatakn oleh rakanku, tetapi sebenarnya komputer ribaku itu baru dua minggu diformat semula. Aku semakin risau kerana tugasan dan kertas kerja yang masih tersimpan dalam cakera. Sekiranya rosak, maka aku terpaksa membuat semula segala maklumat dan tugasan yang telah lama aku simpan. Peristiwa ini memberikan kesan kepada semangatku untuk menyiapkan tugasan kerana itulah satu-satunya komputer riba kepunyaanku. Aku cuba untuk lebih menghargai barang dan menggunakannya dengan baik selepas ini.

Alat Bantu Mengajar

Assalamualaikum w.b.t.



Aku masih teringat peristiwa sewaktu kelas pengajaran mikro pada tiga hari lepas. Salah seorang rakanku membentang pengajarannya menggunakan komputer riba. Namun apa yang aku kurang selesa, mereka lebih suka mengarahku untuk menghidupkan projektor dan komputer. Aku berasa kurang selesa dengan sikap mereka yang kurang mengambil berat tentang penggunaan alat-alat bantu mengajar sebegitu. Pada waktu pembentangan, alat bantu yang digunakannya tidak dapat berfungsi dengan baik. Rakan-rakanku cuba bertanya tentang masalah yang berlaku. Aku menjawab dengan ayat mudah, tidak tahu. Aku bukanlah orang yang mahir dalam mengendalikan sepenihnya alat-alat bantu mengajar seperti itu, tetapi aku masih berusaha untuk menguasai beberapa kemahiran asa dalam menggunakan alat bantu seperti komputer riba, projektor LCD dan overhed projektor. Sikap sesetengah rakanku yang kurang mengambil berat tentang penggunaan alat bantu sedemikian sebenarnya boleh memberi kesan terhadap keupayaan mereka dari segi kemahiran insaniah. Bayangkanlah nanti sekiranya waktu praktikum mereka perlu menggunakan projektor atau alat bantu lain yang berasaskan multimedia, tetapi mereka tidak tahu menggunakan alat dengan betul. Hal ini pasti memalukan diri mereka sendiri. Bagiku, pertolongan yang diberi hanya sekadar panduan. Tetapi perkara ini perlu dititikberatkan kerana melibatkan kemahiran insaniah. Kemahiran-kemahiran sebegini sebenarnya mampu untuk menilai sejauh mana penguasaan diri dalam menguruskan alat bantu sedemikian.

Santai Di Hujung Minggu

Assalamualaikum w.b.t. dan selamat malam.




Hujung minggu merupakan waktu yang dinanti-nantikan oleh sesiapa sahaja. Tidak kira pelajar mahupun golongan berkerjaya, lazimnya waktu hujung minggu digunakan untuk berehat dan menggunakan masa yang ada untuk makan angin. Namun begitu, aku amat jarang untuk keluar berjalan-jalan bersama rakan akibat kelas ko-kurikulum yang diadakan pada hari Sabtu. Tetapi pada sabtu lepas kuliah bagi ko-kurikulum dibatalkan kerana kejohanan sukan yang diadakan dikampus. Aku rasa bersyukur kerana rakan-rakanku bercadang untuk keluar ke Subang bagi berjalan-jalan di kompleks membeli-belah. Agak lama aku dan rakanku berada di kompleks membeli belah Summit. Kawasan di situ masih menjadi tarikan pengunjung walaupun tidak sesibuk di Kuala Lumpur. Aku dan rakan-rakan mencari telefon pintar dan komputer tablet di sekitar kompleks tersebut. Pada mulanya aku bersama-sama mereka sesat akibat tersalah jalan di dalam kompleks tersebut. Mujur salah seorang rakanku, Wadi menelefon salah seorang jurujual di situ bagi mendapatkan haluan jalan ke kedai yang menjual komputer tablet.

Setibanya di situ, aku kebingungan seketika. Bukan kerana rambang mata melihat komputer tablet dan telefon pintar yang dijual, tetapi ciri-ciri multimedia yang tidak aku ketahui fungsinya. Namun begitu, aku tetap cuba untuk memahami satu persatu fungsi yang ada pada komputer tablet yang dipamerkan. Rakanku akhirnya membeli lima buah komputer tablet. Komputer tablet tersebut merupakan tempahan dari kenalannya. Setelah itu, aku dan rakan-rakan menyaksikan persembahan nyanyian oleh kanak-kanak dalam bahasa Mandarin. Suasana di dalam kompleks tersbut bertambah menarik dengan persembahan kanak-kanak tersebut. Aku juga turut terhibur dengan persembahan tersebut. Selepas itu, aku dan rakan-rakan berjalan-jalan mencari restoran yang menyajikan masakan Melayu. Walaupun di kompleks membeli belah tersebut turut menyajikan masakan Melayu, namun aku dan rakan-rakan lebih selesa untuk makan di luar kompleks. Alasannya, makanan di situ agak mahal. Bagiku, waktu hujung minggu merupakan syurga bagi melepaskan tekanan setelah lima hari aku menyiapkan tugasan dan menjalani kuliah.

Sunday 24 March 2013

Kisah di Jalan Raya

Assalamualaikum w.b.t.



Peristiwa kali ini sememangnya buat aku berfikir panjang tentang keselamatan jalan raya. Beberapa hari lepas, aku telah ke pekan Tanjung Malim untuk membeli sedikit barang keperluan. Aku menunggang motorsikal berseorangan ke pekan pada waktu itu. Setibanya aku di persimpangan berhampiran sekolah tamil, aku nyaris melanggar lubang. Hal ini disebabkan oleh seorang pemandu kereta membelok tanpa memberikan isyarat. Aku terkejut disebabkan tindakan tersebut. Mujur aku tidak melanggar kereta tersebut mahupun melanggar lubang. Jika tidak, barangkali aku mendapat kecelakaan di situ. Aku berasa geram dengan tindakan pemandu tersebut. Mujur dia berlalu pergi. Sepatutnya, sebagai pengguna jalan raya, seseorang pemandu mahupun penunggang perlulah sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan bertimbang rasa dengan pengguna jalan raya yang lain. Sikap sesetengah pemandu yang mementingkan diri sendiri boleh membahayakan nyawa orang lain. Oleh hal yang demikian, sebagai pengguna jalan raya, sikap sedemikian perlu dielakkan. Bagiku, sekiranya aku dilanggar ketika itu, aku akan ambil tindakan undang-undang terhadap pemandu kereta tersebut.

Kerana Mulut, Hati Terasa

Assalamualaikum w.b.t.


Jaga mulut tu!

Sesiapa saja pasti akan mengalami situasi sedih mahupun geram. Begitu juga dengan peristiwa yang terjadi pada kali ini. Aku bagaikan tidak percaya apabila rakanku yang dipanggil 'S' yang sering ceria bertukar rupa menjadi pendiam. Mujur perubahan yang berlaku itu seketika sahaja. Hal ini berlaku apabila dia telah disakat oleh rakanku yang dipanggil 'Y'. Sikap 'Y' yang peramah dan nakal telah mebuatkan 'S' berkecil hati. Hal ini disebabkan oleh 'gambar'. Pada waktu itu, aku dan rakan-rakan termasuk mereka diminta untuk menghadiri sesi bergambar yang diatur oleh wakil yang dilantik oleh pihak kampus. 'S' merupakan seorang yang suka mengambil gambar. Tetapi apabila 'Y' menyatakan bahawa sesi penggambaran boleh dijalankan tanpa kehadiran 'S', suasana mula berubah. 'S' meninggalkan tempat berkumpul dengan muka yang sedih. Beberapa orang rakan cuba memujuknya tetapi gagal. Aku hanya melihat kejadian itu berlaku dan bertanya kepada 'Y' dan rakan yang lain. Selepas sesi penggambaran, 'S' tidak kelihatan di kawasan penggambaran. Apa yang aku kesali sikap rakanku yang tidak cuba untuk memujuk semula dan meminta maaf. Inilah akibat tersilap bicara. Perasaan orang lain akan terganggu dan akan mengeruhkan keadaan antara satu pihak dengan pihak yang lain.

Simulasi Kemahiran

Assalamualaikum w.b.t. dan selamat sejahtera.

Peristiwa yang aku ingin kongsikan pada kali ini berkenaan situasi yang berlaku di dalam bilik kuliah. Beberapa hari lepas, aku melihat simulasi kemahiran pengajaran mikro yang disampaikan oleh rakan-rakan sekelasku. Kemahiran yang ditunjukkan sewaktu pengajaran mikro berlangsung iaitu kemahiran bercerita dan menerang. Sewaktu slot kemahiran bercerita berlangsung, rakan-rakan yang membuat simulasi menyampaikan kisah-kisah yang menarik. Antara kisah-kisah yang menarik seperti kesusahan semasa hidup ketika dahulu, masalah buli dan pengalaman menjalani program latihan khidmat negara. Kisah yang disampaikan semenangnya menyeronokkan untuk diketahui, malahan ada antara rakan berminat untuk meminta kisah tersebut disambung. Sewaktu simulasi itu dijalankan, aku dan rakan-rakan dapat memberikan tumpuan. Selesai slot kemahiran tersebut, banyak komen positif diberikan oleh pensyarah.

Pada slot seterusnya iaitu kemahiran menerang, pada mulanya aku dan rakan-rakan dapat meberikan tumpuan kepada rakan yang mengajar buat kali pertama. Tetapi, apabila tiba rakanku yang kedua dan seterusnya membentang, aku dan rakan-rakan yang duduk di kerusi selaku 'murid-murid' mula hilang fokus. Ada antara rakanku yang bersembang, keluar dan membuat bising. Akibatnya, kelas sukar untuk dikawal. Rakanku yang membentang pada waktu itu agak kekok untuk memberikan arahan kepada kelas pada waktu itu. Hasil pembentangan bagi slot kedua, kebanyakannya mendapat komen yang negatif. Aku turut menegur beberapa bentuk kesalahn mereka seperti tahap interaksi dan tahap penguasaan terhadap bahan pengajaran. Situasi sebegini bagiku amatlah penting. Hal ini demikian kerana bahan pengajaran dan cara penyampaian yang berkesan mampu mendisplinkan murid-murid selain mampu meningkatkan keyakinan mereka sewaktu sesi mengajar. Sebagai persiapan sebelum masuk ke kelas, seharusnya ilmu-ilmu dan kemahiran terhadap bahan pengajaran perlu diketahui dan difahami dengan betul. Perkara ini boleh mengelakkan berlakunya kesilapan sewaktu pengajaran yang akhirnya boleh menjejaskan tahap pemahaman dan prestasi pengajaran. Aku berharap agar waktu pengajaran menggunakan kemahiran barang rangsangan dapat menarik tumpuan seterusnya mampu mencapai objektif kemahiran yang ingin dinilai oleh pensyarah.

Wednesday 20 March 2013

Cinta dan Pehubungan

Assalamualaikum w.b.t.

Persitiwa ini berlaku sekitar dua hari lepas sewaktu aku ke pekan bagi menguruskan kemasukan wang ke dalam bank. Aku yang sedang menunggang motorsikal tersenyum melihat gelagat sepasang anak muda, berkemungkinan dalam lingkungan 20-an berjalan sambil berpelukan. Melihat kepada gaya mereka, aku mengagak mereka bukan pasangan muda yang sudah berkahwin. Gelagat mereka amat menjelikkan perasaanku. Menerusi pakaian yang 'kurang inci' (berpakaian singkat) mereka galak ketawa sambil bergurau senda. Si gadis dengan gaya menggoda memperkatakan sesuatu dan kemudian ketawa secara tiba-tiba. Aku kurang senang melihat situasi sedemikian. Mereka seharusnya menjaga adab dan batas-batas pergaulan. Sememangnya kasih sayang itu penting dalam diri manusia. Tetapi secara zahirnya, kebanyakan anak-anak muda yang aku lihat tersilap cara dengan perasaan sebegitu. Perasaan hendak bermanja-manja dengan pasangan sebelum perkahwinan amatlah kurang sesuai kerana ditakuti boleh menyebabkan berlakunya 'keterlanjuran'. Mungkin ada yang menganggap caraku ini kolot, tetapi aku sekadar ingin memberi pandangan. Bagi mereka yang berjumpa dengan seseorang yang mereka sayangi, hargailah mereka. Walaupun perasaan suka, sayang, cinta telah berputik dalam diri, ingatlah bahawa jangan terikut-ikut dengan gaya barat yang sememangnya banyak meracuni jiwa muda generasi kini. Ingatlah, ada orang sekarang bercinta, sanggup tinggalkan segala-gala demi orang yang disayangi. Bagi aku, mereka sudah jauh dari pegangan prinsip sayang yang sebenarnya. Semoga apa yang aku perkatakan ini sedikit sebanyak boleh memberi ilham untuk kita sama-sama bermuhasabah diri. Tak salah bercinta, asalkan kena gaya.

Ilmu Mempertahankan Diri

Assalamualaikum w.b.t.



Ilmu mempertahankan diri merupakan salah satu cabang dalam menyediakan perlindungan kepada diri. Bagi aku, perkara ini amat penting terutama apabila berhadapan dengan situasi genting seperti ragut atau rompakan. Kali ini situasi yang menjadi coretan berkenaan kelas silat. Aku merupakan pelajar peringkat potong yang telah selesai menamatkan matapelajaran dalam peringkat tersebut. Aku telah selesai menamatkan peringkat itu pada semester lepas. Pada kali ini, aku masih ke kelas silat walaupun matapelajaran yang diajar merupakan peringkat yang telah tamat kupelajari. Namun begitu, aku masih ingin menamatkan peringkat-peringkat silat yang telah dimaklumkan kepada aku menerusi jurulatih. Dalam suasana kelas kali ini, aku ingin menjelaskan tentang penggunaan istilah-istilah tertentu dalam silat. Sewaktu kelas tersebut berjalan, aku cuba mengingatkan buah-buah silat. Antara nama-nama buah tersebut seperti 'buah pertama' dan 'sendeng atas'. Istilah yang dinyatakan merupakan buah paling popular sewaktu kelas berlangsung. Sambil mempraktikkan buah yang dinyatakan, kawanku sempat bertanya tentang istilah-istilah tersebut. Istilah yang wujud dalam buah persilatan bukan direka-reka. Setiap buah silat mempunyai istilah tertentu yang berkait rapat dengan gerak tangan mahupun kaki. Selain itu, istilah lain seperti 'pemakan' juga digunakan dalam kelas persilatan. Rakanku cuba mempraktikkan buah tersebut. Akibat terleka, salah seorang dari rakan sekelasku telah menerima tumbukan padu di dahi sewaktu latihan dilakukan. Tumbukan tersebut membuatkannya terhayun ke belakang sedikit. Mujur tidak jatuh tergolek. Suasana ketika itu memang lucu dan membuatkan aku ketawa terbahak-bahak. Itulah merupakan situasi yang jarang-jarang dilihat apatah lagi pembelajaran kelas tersebut dijalankan dalam keadaan serius. Berdasarkan situasi dalam kelas sepanjang waktu tersebut, terdapat satu perkara yang menjadi tarikan bagi diriku. Istilah silat yang digunakan mempunyai kisahnya yang tersendiri. Selain itu, kewujudan istilah tersebut melihatkan bahawa dalam bidang ilmu yang kita pelajari, penjelajahan terhadap penggunaan istilah tertentu akan berlaku. Istilah-istilah ini menjadi tarikan kepada bentuk kesenian yang wujud dalam bidang ilmu mempertahankan diri. Istilah-istilah tersebut berkait rapat dengan ruang lingkup yang berhubungan dengan ilmu. Kemungkinan, istilah-istilah ini boleh dibukukan sebagai entri rujukan dalam pengkajian ilmu mempertahankan diri pada masa akan datang.  

Thursday 14 March 2013

Kedai Makan Mamak

Assalamualaikum w.b.t.

Kedai mamak. Aku merupakan salah seorang peminat makanan luar. Namun begitu, selera aku mudah terbantut apabila timbul perkara yang aku benci iaitu silap menyediakan menu pelanggan. Aku berhadapan dengan peristiwa ini beberapa hari lepas. Pada waktu itu, aku ke kedai makan pada jam lima pagi bersama kawan serumah. Setibanya di kedai, aku memesan dua keping roti telur, teh o ais dan mee goreng. Hampir sepuluh minit aku membuat tempahan, akhirnya menu yang aku nantikan tiba. Namun, aku terkejut apabila teh o ais berubah menjadi milo ais. Aku amat bengang ketika itu. Apabila aku bertanya semula, pelayan hanya mengangguk mengakui kesilapan memberi air yang dipesan tanpa menukarnya. Aku semakin hairan apabila pelayan berlalu selepas ditegur oleh aku akibat silap memberikan air minuman. Mujur aku masih boleh bersabar dengan tindak balas yang ditonjolkan oleh pelayan kedai makan tersebut. Pelayan yang bekerja di kedai makan rata-rata terdiri dari warga asing. Kefahaman mereka terhadap penggunaan bahasa masyarakat tempatan masih kurang. Mereka seharusnya diberikan kursus asas berbahasa supaya mereka lebih mudah memahami perkara yang dituturkan oleh kita sebagai masyarakat tempatan.

Wednesday 13 March 2013

Adab berbicara

Assalamualaikum w.b.t.

Kali ini saya akan menceritakan sebuah situasi antara pelajar dengan guru di sebuah sekolah. Saya telah berada di salah sebuah sekolah menengah di Gombak bagi membantu rakan untuk menyiapkan kajian lapangan. Sewaktu tiba di sekolah, saya mendapati bahawa keadaan kelas agak riuh dengan gelagat pelajar-pelajar yang berada di dalam kelas. Selain itu, saya juga melihat pelajar-pelajar tidak menghiraukan teguran guru sewaktu mereka berada diluar kelas. Sikap sebegini amat saya benci. Sebagai seorang pelajar, sepatutnya mereka akur dengan teguran guru dan bukan membalas balik teguran dengan sindiran. Intonasi suara juga perlu bersesuaian dengan gerangan individu yang terlibat. Menerusi situasi sebegini, saya mengharapkan agar pelajar-pelajar tersebut berfikir semula tindakan mereka itu bersesuaian atau tidak.

Monday 11 March 2013

Masalah komunikasi

Assalamualaikum w.b.t.

Aku tersenyum apabila mendengar rintihan dari salah seorang rakanku. Dia sedang mengalami masalah akibat salah faham dengan kekasihnya. Hal ini berlaku apabila dia sedang menolong kekasihnya menyelesaikan masalah perkhidmatan langganan menerusi syarikat telekomunikasi. Paparan aplikasi yang terdapat dalam telefon rakanku tidak sama seperti di dalam telefon bimbit kekasihnya. Akibat tidak sama paparan tersebut, maka berlakulah pertelingkahan sehingga kekasihnya merajuk dan ingin memutuskan hubungan. Aku menjadi hairan kerana masalah kecil yang berlaku telah menyebabkan perang besar antara mereka. Aku memberikan nasihat supaya melihat langganan yang terpapar pada telefon kekasihnya dan cuba menghubungi pihak syarikat telekomunikasi atau menukar nombor telefon. Akhirnya, aku mendapat tahu bahawa kekasih rakanku telah menukar nombor telefon dan mereka telah berbaik semula. Berdasarkan situasi yang berlaku, masalah yang menjadi pokok persoalan dalam keadaan tersebut ialah komunikasi. Sekiranya melibatkan bahan elektronik, sebaik-baiknya perlu dirujuk secara terus kepada pihak syarikat telekomunikasi. Tindakan ini dilihat lebih mudah berbanding bertanya sesama sendiri tentang langganan dan peraturan yang terdapat dalam penggunaan aplikasi elektronik Selain itu, perkara ini perlu diselesaikan dengan cara bersemuka. Hal ini lebih memudahkan penyelesaian berbanding bercakap menerusi telefon kerana membantu mendapat penjelasan dengan lebih cerah.

Friday 8 March 2013

Perkongsian masalah

Assalamualaikum w.b.t.

Tak semua orang mampu berdepan dengan risiko seperti itu. Apa yang ingin aku ceritakan bukanlah suatu peristiwa yang mengerikan. Malam Rabu lepas merupakan majlis bersama penasihat Persatuan Bahasa Melayu dan Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu. Majlis tersebut dikendalikan oleh sahabatku Eddie selaku ahli jawatankuasa dalam Persatuan Bahasa Melayu (PERBAYU). Dalam perjumpaan tersebut, aku tertarik dengan beberapa masalah yang diutarakan oleh rakan-rakan seperti masalah jadual kuliah yang bertindih, pertukaran minor dan masalah berkaitan pengurusan pembelajaran kuliah. Aku berasa lega kerana masalah-masalah yang dituarakan dijawab secara terus oleh ketua jabatan dan penasihat persatuan. Bagi diriku, perkongsian masalah seperti amat berguna kerana masih wujud masalah komunikasi antara pelajar dan pensyarah dan juga kakitangan fakulti sejak kebelakangan ini. Penelitian ini sememangnya memberi kesan yang positif dalam memberikan peluang kepada pelajar untuk bersuara secara betul tanpa perlu melibatkan tindakan provokasi ataupun perbuatan-perbuatan yang boelh melanggar peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak universiti.

Salah Sangka

Assalamualaikum w.b.t.

Aku mempunyai salah satu tabiat yang agak nakal iaitu menyakat orang. Tabiatku semakin menjadi-jadi apabila ada perkara yang boleh dikaitkan dengan seseorang. Hal ini telah menyebab berlaku salah sangka antara aku dan seorang rakan. Aku berniat sekadar untuk bergurau sahaja, namun tanpa disedari aku dimarahi oleh rakan menerusi panggilan telefon. Gelisah apabila dia memarahi aku kerana selama ini aku jarang-jarang dimarahi oleh rakan, terutamanya perempuan. Namun begitu, menerusi panggilan tersebut, aku cuba untuk menjernihkan keadaan dan meminta maaf kepadanya atas gurauan yang agak sensitif bagi dirinya. Berdasarkan situasi tersebut, aku mula memahami bahawa tidak semua orang boleh menerima gurauan yang sama. Penerimaan mereka terhadap bentuk-bentuk gurauan kadangkala memberikan kesan terhadap emosi dan sensitiviti. Selepas ini, mungkin aku perlu berhati-hati dalam bergurau dengan menjaga sensitiviti serta tidak melampaui batas kesabaran dalam pergaulan.

Monday 4 March 2013

Latihan Pengajaran Mikro

Assalamualaikum w.b.t.

Hari ini aku bersama-sama rakan turun ke bilik kuliah untuk mengadakan latihan pengajaran mikro walaupun tanpa kehadiran pensyarah. Walaupun hanya separuh dari kumpulan kelasku yang hadir, namun itu tidak menjejaskan tumpuan dalam mengadakan latihan. Latihan yang aku dan rakanku lakukan bertumpu kepada bahagian set induksi. Bukan senang perkara tersebut hendak dilaksanakan. Namun, apa yang penting iaitu pengalaman perlu diwujudkan. Tanpa pengalaman, kemungkinan idea-idea yang kreatif dan menarik dapat dihasilkan.

Situasi di dalam bilik kuliah sememangnya berbeza dengan bilik darjah. Aku turut berasa gementar sewaktu menyampaikan set induksi. Perkara yang aku dapat lihat menerusi pengajaran yang aku jalankan bersama-sama rakan iaitu penggunaan laras bahasa yang sesuai dengan peringkat pelajar di sekolah. Bukan sahaja penggunaan laras bahasa yang mudah dan ilmiah perlu diterapkan malahan penyampaian menerusi intonasi suara dan bahasa badan memberi kesan kepada respon pelajar. Aku dapat mengesan ada kalangan rakanku menggunakan perkataan negatif seperti 'bodoh'. Ada juga kalangan rakan yang memberi tindak balas negatif terhadap jawapan walaupun jawapan tersebut salah. Walaupun hanya sekilas pandang, namun dari segi etika penggunaan perkataan seperti itu memberi kesan kepada pelajar. Meskipun penggunaan perkataan tersebut tidak merujuk kepada pelajar, namun seharusnya dielakkan. Selain itu, penggunaan perkataan negatif sewaktu membalas respons dari pelajar sebenarnya tidak baik. Walaupun pelajar silap dalam memberi jawapan, seeloknya respon terbaik dengan memberi penyataan seperti, "Jawapan awak itu hampir-hampir tepat, jangan putus asa", "Sila cuba sekali lagi" ataupun " Baik, terima kasih kerana cuba menjawab. Jawapan yang lebih elok sebenarnya iaitu...". Penggunaan ayat-ayat sedemikian mungkin membantu meningkat keupayaan kita dalam mengawal penggunaan ayat-ayat yang kurang sesuai sewaktu mengajar nanti. Walaupun hanya sekadar latihan tetapi membantu memberikan aku dan rakan-rakan semangat dan cuba melakukan yang terbaik dalam sesi pengajaran mikro akan datang. Mudah-mudahan perkara ini dapat memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain.